Friday, 17 February 2012

Langkah Perjalanan Ini

Sudah lama saya berada di negeri orang. Tiba-tiba saya menjadi rindu untuk pulang ke rumah. Malangnya jarak yang jauh menjadi penghalang. Saya kini berada di seberang laut, orang cakap menimba ilmu di perantauan. Saya belajar untuk menjadi seorang pendidik yang bakal  berbakti kepada anak bangsa saya sendiri satu masa kelak.
Sekilas pandangan, memang senang dan menyeronokkan sebenarnya. Kebebasan, yang menjadi buruan orang muda dalam genggaman saya sekarang. Di sini, tiada orang yang mengongkong. Tiada orang yang berleter. Apa yang mau kita buat, buatlah.. bebas memilih. Pokoknya, bebas dari kongkongan orang tua.
Tapi, bagi saya itu bukanlah tiket untuk saya berbuat sesuka hati. Saya datang di tempat ini diiringi  harapan yang tinggi daripada orang tua. 
Masih segar di ingatan saya betapa seksanya saya dan bapa mengharungi perjalanan dari Sabah ke Seremban dengan hanya berbekalkan duit yang sangat sedikit untuk permulaan satu perjuangan yang besar. Boleh cakap kami datang hanya membawa harapan masa tu. Kedaifan keluarga menghalang saya dan bapa untuk datang lebih awal…Itupun duit yang kami bawa tu merupakan duit pinjaman dari ahli keluarga yang lain..juga atas bantuan saudara-mara.Kalau mereka tiada, entahlah.Mungkin hajat untuk menyambung pelajaran sehingga ke Seremban ini tidak akan kesampaian.
Ringkasnya, keluarga saya sangatlah menderita untuk membiayai pengajian saya di sini. Kalau bukan kerana mengingatkan kedatangan saya ke sini cuma menambah hutang yang sudah sedia bertampuk, kalau bukan kerana mengingatkan kedatangan saya atas belas kasihan  saudara mara, kalau bukan mengingatkan kedatangan saya cuma menambah bebanan ibu bapa di rumah, kalau bukan kerana mengingatkan kedatangan saya adalah untuk mengubah pandangan rendah orang kampung terhadap keluarga kami, kalau bukan mengingatkan kedatangan saya adalah untuk mengubah masa hadapan saya dan mengubah nasib keluarga  yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang dengan bilangan tanggungan bapa yang ramai…mungkin saya tidak akan betah bertahan dengan ujian di sini..ujian yang menguji kekuatan emosi, mental dan ketahanan hati. Ujian untuk membentuk dan menyemai sikap bertanggungjawab yang sebenarnya di dalam kehidupan…dan bukan senang untuk terus kukuh berdiri di sini.. Saya masih tercari -cari arah tujuan di sini..tidak dinafikan, saya banyak kali tersungkur. Tetapi saya kuatkan semangat untuk bangun kembali biarpun pedihnya hanya Tuhan saja yang tahu. Bekali-kali juga air mata ini mengalir keluar dek ketidaktahanan diri untuk terus berdiri.Juga seringkali saya penat dengan mainan sandiwara yang dilakonkan oleh mereka yang bernama teman. Berada di sini mengajar saya mengenai hipokrasi manusia demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri, satu sikap yang tidak diperlukan dalam catatan hidup seorang guru sejati.Kenapa?  sebab guru yang sebenar patut ikhlas dan jujur dalam menyampaikan ilmu tanpa dihadang oleh sikap-sikap yang tidak sewajarnya wujud, dan hipokrasi itu salah satu daripadanya. Inikah sikap mereka yang bakal bergelar pendidik?..
Banyak kali juga saya merasa jauh tertinggal di belakang mereka yang bergelar cerdik. Kesilapan yang berlaku semasa proses pembelajaran ini selalunya menjatuhkan semangat saya dalam mengejar kecemerlangan. Saya selalu merasa diri ini teruk dan tidak berkeupayaan bersaing dengan mereka. Realitinya, semua pemikiran saya setakat ini lebih banyak berunsurkan negatif.  Tapi, hari ini saya mengetahui dan menyedari bahawa mengejar pointer bukan tujuan utama  yang perlu dilakukan. Apa yang penting adalah pengalaman yang berguna yang boleh saya amalkan di sekolah kelak.
Saya tahu masih banyak yang perlu saya pelajari sebelum saya menamatkan pengajian di maktab ini. Saya perlu melakukan  usaha yang lebih gigih dan melipatkaligandakannya serta lebih tekun berbanding sebelum ini. Saya bukanlah seorang yang sempurna tetapi saya berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan melakukan yang terbaik dan memberikan yang terbaik dalam apa jua kegiatan di sini dan saya akan berusaha meningkatkan pengetahuan saya untuk mengejar keperluan semasa. Saya juga akan memperbaiki sikap, pemikiran dan usaha saya agar saya dapat menjadi pendidik yang benar- benar dapat melahirkan seorang ‘manusia’ suatu saat nanti.
Saya tahu, masih jauh perjalanan yang harus saya lalui dan banyak cabaran yang menanti di hadapan. Saya tahu saya perlu bersabar dan kuatkan hati untuk terus bangun sekalipun saya jatuh berkali- kali dalam melangkah ke hadapan. Tapi demi keluarga di kampung yang berharap agar saya pulang membawa segulung ijazah, demi kepentingan bangsa yang  memerlukan bimbingan seorang yang bergelar guru, maka dengan itu saya akan kuatkan tekad untuk meneruskan  perjalanan ini meskipun ternyata ia mencabar kredibiliti diri saya.  
Saya percaya saya dapat membuat satu perubahan yang bakal mengubah bukan sahaja kehidupan saya dan keluarga, tetapi juga mengubah hidup orang lain. Semoga dengan itu, saya dapat berbakti kepada anak bangsa saya di Sabah. Satu perubahan besar perlu saya lakukan demi mencapai aspirasi ini. Semoga niat ini menjadi kenyataan.Amin...

No comments:

Post a Comment